Tuesday, February 02, 2016

May 25th 2014 would be the best day of my life. Qal dapat jaga Papa dalam Wad 6D Hospital Ampang. Qal tolak Papa atas wheelchair tiap kali Papa nak ke tandas. Qal borak-borak dengan Papa puas-puas. Pagi tu, Papa minta Qal belikan breakfast kat luar hospital sebab kafetaria belum buka, Papa minta Qal beli agar-agar, favorite Papa. Qal keluar hospital, Qal pergi tiga kedai tanya ada agar-agar tak, tapi takda. Jadi Qal belikan tiga keping roti canai and dua bungkus teh o ais.


Qal balik wad Qal hidangkan breakfast tadi. Qal tuang dua the o ais dalam jug yang disediakan oleh hospital, roti canai, dal, sambal dan kari dalam Tupperware dari rumah. Papa ada record Qal hidangkan breakfast dengan Samsung Galaxy SIII Papa, tapi video tu dah takda. Itulah kali terakhir kita makan sama-sama.

Tengah hari tu, Papa tanya;

"Qal, UPSR bulan berapa?"
"Bulan sembilan, Pa,"
"Hmm PMR bulan 10 kan,"
"Ermm ya, Pa,"
"SPM?"
"Sama ada bulan 10 ke 11,"
"Hemm bulan 11 lah. STPM pulak?"
"Bulan 11 kot, Pa,"


Lebih kurang 10 minit kemudian, Papa tunjuk Qal fon Papa. Papa kata "Qal, baca ni, okey tak?" Papa tulis sebuah puisi bertajuk 'UJIAN'

UJIAN
 

Ujian UPSR bakal tiba
Sekitar September
Ujian PMR bakal tiba
Sekitar Oktober
Ujian SPM bakal tiba
Sekitar November
Ujian STPM bakal tiba
Sekitar bulan November
Ujian semestar bakal tiba
Semua tahu bila tarikhnya
Ujian memandu
Juga semua tahu tarikhnya
Nah apa juga ujian yang dirancang manusia
Telah tertulis tarikh dan waktu
Telah tertulis tepat dan nyata
Maka segala persediaan telah di buat
Maka segala strategi telah di atur
Segala ujian diharungi dengan sempurna
Bagaimana pula sengan ujian Allah SWT
Tahukah kita bila waktunya
Tahukah kita bila tarikhnya
Apakah kita sudah bersedia menerima
Ujian ujian Allah SWT disaat kita alfa
Ingatlah semua
Ujian Allah SWT pasti datang juga.
Martias Ali
25.05.2014
Hospital Ampang.

Qal jawab "Okay". Papa dah post nukilan tersebut di Facebook Papa. Lepas tu, Papa ada selak gambar-gambar yang haiqal tangkap, Qal suruh upload kat Instagram Papa. Ketika papa tidur, Qal pinjam fon Papa untuk berselfie dengan Papa yang sedang tidur. Papa suruh Qal upload gambar tu dan berkata "Haiqal tuliskan caption tulis harapan,... Padam balik, tulis Bakal pengganti"

Pagi tadi pukul enam pagi nurse check darah tinggi, suhu, ambil darah Papa. Qal amik gambar Papa kena check, Qal ingat lagi nurse tu check suhu Papa kata "38 darjah. Pakcik demam ehh?" Semua nurse dalam wad panggil Papa Pakcik. Tak pernah Qal dengar orang panggil Papa Pakcik. Itu first time.

Petang, Mama, adik-adik, Aunt Kinah and Uncle Adi datang tengok Papa. Petang tu barulah Qal mandi. Lepas tu Papa mintak Qal mandikan Papa. Qal cuci rambut, sabun badan. Kebetulan hari tu ada final match Thomas Cup dimana Lee Chong Wei mewakili Malaysia menentang Jepun. Lepas tu Qal tolak Papa ke bilik TV di pintu entrance Wad 6D. Itulah kali pertama dan terakhir Qal mandikan Papa ketika masih hidup dan kali terakhir kita tengok TV sama-sama. Habis first round dimana Malaysia menang, Papa nak baring kat katil and sambung tengok TV melalui fon dengan app RTM Online.

Senja tu, Papa tanya seorang demi seorang anak-anak Papa dah besar nak jadi apa. Qal jawab nak berlakon. Tapi sekarang Qal ubah fikiran nak mengajar kat sekolah kerajaan. Sebab bila difikir kembali, buat apa kerja tak ada gaji tetap dan tak ada pencen, kalau kerja kerajaan, dapat pinjaman kereta, perumahan dan pencen. Kalau kita meninggal, pencen tersebut isteri kita dapat. Macam Arwah Wan, seoarng guru Muzik, Seni, Sejarah dan Bahasa Inggeris. Papa mesti bangga sebab Papa juga cikgu dalam bengkel penulisan skrip, pembikinan filem pendek di Finas. Qal dah nak balik, Qal dapat salam, cium tangan, pipi dan dahi Papa buat kali terakhir masa hidup Papa.

29 Mei 2014, 16 jam sebelum Papa pergi, jam 5 pagi, Papa suruh doktor hantar Papa ke ICU. Tapi doktor tak kasi, doktor kata kena ikut prosedur. Papa sesak nafas, Papa mengucap "Allah, Allah, Allah, ...". Doktor bagi oxygen mask untuk Papa bernafas. Mama kata "Bang, pakai mask ni. Abang boleh mengucap dalam hati, Allah tu Maha Pendengar" tetapi Papa tetap berdegil, cabut mask tu dan terus mengucap "Allah, Allah, Allah, ...".

Bila azan Subuh berkumandang, mata papa pandang ke atas. Mama panggil doktor, doc bagi Papa life support. Semua pesakit pelik kenapa ada pesakit tengah nazak dalam wad yang biasa. Mama call Haiqal menangis, mama minta Haiqal tolong doakan Papa. Qal solat Subuh, hari sebelumnya (28 Mei) Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mangkat, maka semua TV dan Radio satu Malaysia memainkan Surah Yassin. Kami on the way ke hospital diiringi bacaan Surah Yassin. Bila kami sampai Wad jam 7 pagi, saya sangat, sangat terkejut sebab Qal tak pernah tengok Papa dalam keadaan yang sangat, sangat teruk. Banyak life support machine keliling Papa, banyak wire atas badan Papa. Qal menangis, Qal bisik kat telinga Papa macam mana dengan filem Papa nanti, Qal ajar Papa mengucap.

Papa dikejarkan ke ICU jam 11 pagi. Qal tunggu di bilik menunggu, bilik yang sama dimana Qal menunggu berita akan keadaan Arwah Wan di dalam CCU dua tahun sebelum tu.

Beberapa jam sebelum Papa tiada, doktor mengesahkan Papa menghidap leukemia (kanser darah, stage 4), pelbagai organ dalaman Papa rosak sepenuhnya dalam masa yang singkat seperti otak, hati, jantung dan buah pinggang. The worst, most shocking, most critical case/patient recorded in Ampang Hospital yet. Doktor kata virus di dalam badan Papa multiplies into billions every minutes. Qal baca Yassin di sebelah Papa. Petang, doktor datang dekat kami depan katil Papa kata he won't gonna make it until 48 hours. Papa dalam keadaan koma, tapi Qal boleh nampak airmata papa mengalir.

Beberapa minit sebelum Papa pergi, Papa dah buat CPR atas Papa. Doktor kata "He won't gonna make it until tonight, but we'll try the best as we can for you, and we dicided to do the CPR again,". Tapi Mama bantah dan kata "Janganlah seksakan suami saya. Apa-apa yang terjadi, syay terima ketentuan Allah,". Qal terus berlari ke katil Papa, doktor suruh Qal keluar, tapi Qal kata nak ajar dia mengucap, doktor benarkan. Sekali lagi Qal mengajar Papa mengucap, Qal kata

"Papa, ikut Haiqal cakap, Ash hadu Ala Ilaha Ilallah, Wa Ash hadu an Namuhammadar Rasulullah. Kalau tak mampu, Papa ikut Haiqal cakap, La Ilaha Ilallah, Muhammadar Rasulullah. Kalau tak mampu, cakap Allah sudah cukup, Papa."

manakala doktor shut down semua life support machine sekeliling anda. Qal berharap Papa mendengar Qal ketika itu. Tetapi Qal yakin Papa dah mengucap dalam hati, dan terus berjuang untuk terus hidup. Makin lama, bunyi mesin terus bip lebih laju, lagi laju.

Pada 29 Mei 2014, doktor telah mengesahkan Papa menghembuskan nafas terakhir jam 10:43 malam, selama-lamanya. Qal takkan lupakan saat-saat ni, saat Qal mandikan jenazah Papa, pakaikan kain kapan untuk Papa, solatkan untuk Papa dan masukkan Papa dalam liang lahad.