Sunday, March 22, 2026

P. RAMLEE DI MATA SAYA

 P. RAMLEE DI MATA SAYA

[Foto janaan AI: Papa memperkenalkan saya kepada P. Ramlee dan hasil kerjanya semasa saya kecil]


1. Mungkin saya seorang Gen-Z dengan citarasa yang begitu geriatrik berbanding para Gen-Z yang lain. Mungkin juga ramai lagi anak muda generasi saya yang belum kenal mahupun belum didedahkan lagi dengan pengetahuan tentang kegemilangan era filem Melayu klasik pada sekitar 1950an hingga 1960an.

2. Saya memanjatkan rasa syukur dan mujur dengan pendedahan-pendedahan yang disuap kepada saya di tika saya berumur awal belasan tahun lagi, disokong pula dengan kehadiran ayah yang sungguh mengidolakan P. Ramlee. Saya mula mengetahui kewujudan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee ketika darjah tiga tahun 2007, di mana, kalau saya boleh ingat semula, terdapat satu bab dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 3 bertajuk “Seniman Agung,” babak itu diajar oleh guru Bahasa Melayu saya merangkap guru kelas saya di SK Taman Desa 1, Rawang pada waktu itu, Cikgu Norlina.

Bab itu menceritakan beberapa biodata Tan Sri P. Ramlee seperti tarikh lahir dan tarikh kematiannya yang saya mulai ingat sampai bila-bila sejak hari itu, dan juga senarai hasil seni karya beliau serta filem-filem dan lagu-lagunya. Seingat saya juga, di penghujung pembelajaran, kami sekelas dikehendaki menyanyi lagu “Joget Malaysia” beramai-ramai yang liriknya ada tertera pada buku teks tersebut.

3. Pada tahun yang sama juga, Malaysia digemparkan dengan berita (Allahyarham) Dato’ Aziz 
Sattar telah masuk ke wad untuk menerima rawatan lanjut. Dan saya seperti biasa semasa kecil, setiap malam saya akan ke rumah arwah datuk saya Adenan yang tinggal bersebelahan dengan saya untuk meluangkan masa dengan datuk dan nenek menikmati makan malam dan menonton berita bersama beliau. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menjadi pembaca berita nanti.

Pada malam itu apabila munculnya berita tentang Pak Aziz, dari situlah datuk saya menerangkan kepada saya, “Dialah Ajis dalam cerita Bujang Lapok yang Eqal dok tengok kat TV tu! Depa tu lah. Ni Ajis, dia tengah sakit masuk hospital tu Qal. Kesian dia. Dia dengan Sudin je ada lagi sekarang ni. Ramlee dah tak ada dah...” dan bercerita panjanglah datuk saya, memberi pencerahan dan meyakinkan saya mengapa mereka tiga Bujang Lapok ini legenda yang tiada ganti. Dari situ saya mula menonton beberapa buah filem P. Ramlee di YouTube pada awalnya seperti ‘Labu Labi’ dan ‘Ahmad Albab’. Saya sudah mula tertarik dengan filem-filem lama seawal usia tersebut.

4. Pada tahun 2010 ketika saya berusia 12 tahun lah saya mula menyelami filem-filem klasik dan lagu-lagu Melayu lama. Pada tahun itu ketika ibu saudara saya hendak berpindah rumah, saya terjumpa sebuah jam penggerak digital dua dalam satu yang terdapat radio. Tertarik dengan jam yang ada radio berjenama Sony itu, dengan tanpa rasa malu, saya terus minta makcik untuk saya ambil terus jam ini. Sesudah saya bawa pulang, saya pun menggodek-godek saluran radio kerana saya seronok bermain dan mendengar pelbagai saluran radio, sehinggalah saya terhenti pada frekuensi 98.3. Pada ketika itu dikenali sebagai Radio Klasik Nasional. Lagu pertama yang saya dengar dari radio itu memainkan lagu patriotik lama bernama “Malaysia Berjaya.” Saya masih ingat lagi.

Saya tetap teruskan mendengar kepada saluran radio itu sehingga beberapa lagu kemudian, dan saya jadi tertarik. Ada juga radio yang didedikasikan untuk memainkan lagu-lagu yang begitu klasik yang belum pernah saya dengar. Dapat juga saya mendengar lagu-lagu P. Ramlee dari Radio Klasik. Dari situ juga minat saya terhadap pembacaan berita saya membuak kerana saya juga akan mendengar penyampai membaca berita radio setiap kali masuk jam baru. Saya ditemani Radio Klasik sepanjang saya mengulang kaji menjelang UPSR setiap malam.

5. Namun, garis masa tepat di mana saya benar-benar mendalami dan menghayati hasil karya P. Ramlee dan tahun di mana saya mula menjadikan beliau sebagai idola saya adalah bermula pada bulan September 2010. Pada bulan tersebut, Astro sedang hangat mempromosikan kempen bulan memperingati P. Ramlee yang akan berlangsung sepanjang bulan Oktober 2010. Di sini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Astro, kerana dengan kempen itulah, saya dapat mempelajari dengan lebih mendalam tentang P. Ramlee, dan mengesahkan diri saya seawal usia darjah enam itu, P. Ramlee adalah idola saya sejak momen itu sehingga ke hari ini.

Pada waktu itu, saya yang selesai menduduki peperiksan UPSR pada bulan sebelumnya dapat meluangkan masa sepenuhnya di rumah menonton televisyen, dihidangkan dengan tayangan filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee, menonton dokumentari khas saluran History mengenai P. Ramlee, diperkenalkan lagi dengan ratusan buah lagu gubahan dan nyanyian beliau, dan akhirnya nyanyian semula lagu-lagu P. Ramlee oleh gabungan penyanyi-penyanyi baru dan lama pada ketika itu serta siaran langsung konsert memperingati P. Ramlee. Kempen ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada anak kecil seperti saya dan melahirkan sifat menghargai orang lama dalam diri.

6. Menjelang ulang tahun hari kelahiran saya pada tahun yang sama, 2010, saya yang suka membaca surat khabar bersama arwah datuk membelek-belek muka surat surat khabar bersamanya, sehingga terdapat muka surat di mana Pak Ajis dan (Allahyarham) Tan Sri Jins Shamsuddin bersama-sama mengunjungi Pustaka Peringatan P.Ramlee di Setapak untuk mengimbau kenangan dan mengenang sahabat lama mereka yang sudah lama tiada. Saya masih menyimpan keratan akhbar yang bertarikh tepat pada hari jadi saya 16 September 2010 itu. Terus saya meminta ayah Martias untuk membawa saya ke sana untuk hari jadi saya.

Ayah dapat memenuhi permintaan saya untuk ke Pustaka Peringatan itu bersama keluarga dan nenek saya Zaleha. Pada masa itu, pengunjung ditawarkan untuk bergambar dengan pakaian dari filem P. Ramlee. Saya dipakaikan baju Ali Baba, tetapi gambar itu telah hilang dari simpanan kami kemudiannya. Di hujung bulan Oktober 2010, Papa telah mendaftarkan saya untuk belajar bermain piano di Yamaha Wangsa Walk Mall kerana terpengaruh dengan muzik dendangan P. Ramlee yang pandai bermain piano. Saya juga sempat dibawa ayah mengunjungi Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang pada 2013. Di situ, ayah saban kali mengingatkan kepada kami sekeluarga “Ini tarikh P. Ramlee meninggal. 29 Mei 1973. Ingat tu. 29 Mei.” Kami tidak faham apa yang hendak Papa sampaikan pada ketika itu.

7. Negara dikejutkan oleh berita kematian Seniman S. Shamsuddin pada Jun 2013. Saya masih ingat lagi kata-kata arwah datuk yang sudah pun meninggal terlebih dahulu sebelum Sudin. “Hanya Ajis dan Sudin sahaja yang tinggal.” Kini Sudin pula sudah pergi. Namun pemergian Allahyarham Datuk Aziz Sattar pada awal Mei 2014 akibat sakit jantung antara berita kematian artis pertama yang amat mendukacitakan saya, dan saya tangisi atas pemergian beliau, walau saya masih lagi berusia 15 tahun masa itu. Tiada lagi Bujang Lapok.

Kesedihan saya pada ketika itu dikatakan membanggakan Papa kerana saya yang kecil menghargai seniman seperti Pak Ajis. Namun kesedihan saya tidak terhenti di situ. Di hujung bulan yang sama, kami sekeluarga terpaksa menghadapi ujian yang paling berat apabila ayah juga menyusul pergi meninggalkan kami secara mengejut akibat leukemia, di malam Syaaban pertama pada 29 Mei 2014. Tarikh yang selalu ayah tekankan ketika di rumah kelahiran P. Ramlee. Rupanya selama ini Papa secara tersirat memberi gambaran bahawa meninggal jugalah Papa tepat pada tarikh kematian idolanya sendiri P. Ramlee.

Bayangan awal pemergian Papa pada malam Syaaban pertama saya dapati adalah dari skrip hasil beliau bertajuk “Aidilfitri di Bulan Syaaban” yang dizahirkan menjadi telemovie Hari Raya buat Astro pada tahun 2004, 10 tahun sebelum beliau pergi. Telefilm yang menceritakan tentang seorang yang “disahkan menghidap penyakit ktonik” dan dijangka hayatnya tidak lama telah berhasrat untukmerasa suasana Hari Raya buat kali yang terakhir, walau belum masuk bulan puasa lagi. Telefilm ini menampilkan Joey Daud buat julung kalinya menjadi pelakon komedi dalam industri, dan menjadi titik permulaan beliau sebagai pelawak dengan jenaka beliau yang begitu semula jadi.

8. Melangkah beberapa tahun kemudian ketika saya mula menuntut pengajian tinggi ke UiTM mengambil Diploma Filem, di situ juga saya dapat pelajari Sinema Malaysia dengan lebih dalam. Satu kelas syarahan ini telah memberi tamparan hebat kepada saya dalam persoalan mengapa pentingnya P. Ramlee kepada industri kita. Sebagaimana yang diketahui umum, filem pertama yang diterbitkan di Tanah Melayu adalah ‘Laila Majnun’ pada tahun 1933. Nenek moyang kita pada ketika itu dihidangkan dengan filem dari pengarah India dan Cina, sehingga Raja Mahadi, seorang pengarah filem Melayu, diberi peluang untuk mengarah sebuah filem bertajuk ‘Mata Di-Perlimbahan’ (1952).

Namun filem itu gagal memdapat sambutan, dan membawa kepada keputusan Shaw Brothers untuk tidak membenarkan orang Melayu mengarah filem. Sehinggakan munculnya P. Ramlee, menyahut cabaran Shaw Brothers— sekiranya filemnya gagal juga, P. Ramlee, dan penggiat seni Melayu yang lain, sanggup berkhidmat bersama Shaw Brothers secara percuma, tanpa sebarabg cagaran, tanpa sebarang gaji.

Maka terbitlah filem ‘Penarek Becha’ (1955), dihidang dengan sentuhan anak Melayu kelahiran Pulau Pinang, yang berjiwa besar, dan namanya tetap disebut-sebut, sehingga ke hari ini. ‘Penarek Becha’ berjaya memikat hati warga Tanah Melayu, diiktiraf sebagai filem terbaik oleh Utusan Film and Sport Magazine. Ia turut menobatkan P. Ramlee sebagai pengarah terbaik, seniman terbaik, juga mengiktiraf Saadiah sebagai seniwati terbaik, Salleh Kamil sebagai seniman pembantu terbaik, dan lagu ‘Inang Baru’ sebagai lagu terbaik, melalui ‘Penarek Becha’.

Dan hal ini telah memuaskan Shaw Brothers untuk membuka pintu bagi para seniman Melayu berkarya dan mengarah filem, dan inilah titik permulaan industri pengarahan filem di tanahair kita. Pada penghujung kelas, saya berjumpa dengan pensyarah saya, Puan Ayu, menyuarakan kekaguman saya akan kehebatan sentuhan P. Ramlee, serta pendapat saya bahawa tanpa P. Ramlee, industri kita takkan wujud, begitu juga fakulti kita. Namun beliau berpendapat bahawa industri ini mungkin ada, tapi pergerakan tidak begitu pantas, tidak akan semaju sekarang.

9. Kekaguman saya terhadap Seniman Agung kita tidak terhenti di situ. Menyedari darah seni yang mengalir dalam daging keluarga kami, saya terfikir sejenak. Sekiranya P. Ramlee tidak menyahut cabaran Shaw Brothers itu, apa mungkin ayah saya bukan pengarah filem di waktu dulu? Adakah ibu saya takkan menulis skrip? Apakah mereka tidak pernah berjumpa dan saya takkan wujud?

Kerana titik mula pertemuan Mama dan Papa adalah kerana minat ibu saya untuk berlakon. Selain menyanyi bersama adik-beradiknya dalam kumpulan Adza Sisters sejak pertengahan 1990an di Kuala Lumpur, Mama juga berhasrat ingin menjadi pelakon. Maka Mama pun hadirlah ke satu uji bakat, yang secara kebetulannya sesi uji bakat lakonan itu diketuai oleh ayah saya, seorang pengarah filem di hujung usia 20-an itu. Di situlah detik permulaan cinta pandangan pertama mereka.

10. Pengidolaan saya terhadap P. Ramlee bukanlah untuk menyembah beliau sebagai Tuhan. Malah bukan sama sekali menganggap P. Ramlee lah yang menjodohkan ibu dan ayah. Saya juga tidak menganggap sekiranya P. Ramlee tak ada, saya pun takkan wujud. Sememangnya jodoh, ajal dan maut itu di tangan Tuhan, tetapi ASBAB pertemuan Mama dan Papa adalah kerana cita-cita dan usaha P. Ramlee yang melahirkan industri kreatif ini, malah melahirkan anak-anak bangsa yang bercita-cita untuk menyumbangkan seni kreatif mereka kepada negara dalam pengarahan, lakonan, penulisan, tarian, nyanyian dll, seperti apa yang diidamkan oleh Mama dan Papa juga. Sepasang suami isteri yang bersama-sama menjadi pasangan penulis skrip yang dikenali penggiat seni yang lain, yang telah membesarkan kami berempat dan mencurahkan pengetahuan mereka, baik dalam seni penulisan, lakonan, pembikinan filem mahupun nyanyian, dan mempengaruhi kami untuk berkarya dengan cara masing-masing.

11. Dan hal ini sahaja sudah memadai untuk menjadi asbab kukuh mengapa saya menyanjung tinggi dan menghargai seorang insan bernama P. Ramlee. Saya tidak boleh menganggap Allahyarham sebagai insan yang istimewa dan luar biasa. Tetapi pada saya, beliau adalah insan biasa, yang dikurniakan Allah SWT bakat istimewa yang luar biasa dan beliau telah menggunakan kebolehan dan keistimewaan luar biasa beliau itu dengan sebaiknya, dengan izin Allah.

Budi bahasa, sahsiah dan gaya Allahyarham juga saya mengambil contoh beliau ke dalam kehidupan seharian saya. Saya pakai baju Melayu lengkap bukan saja-saja, bukan kosong-kosong. Saya tidak segan silu mengenakan baju Melayu lengkap ke mana-mana, haruslah bersongkok dan bersampin. Tanpa salah satu, saya rasa seakan berbogel kalau tak lengkap. Mesti lengkap. Bersampin pun ikat gaya Madu Tiga kebanyakan kalinya. Biar tak ada yang mengikut. Ini gaya saya sendiri.

12. Di sini juga timbul satu pertanyaan. Sekiranya saya hidup di zaman beliau, apakah saya juga akan ‘menindas’ P. Ramlee sebagai mana orang-orang kita pada waktu dahulu yang menyaksikan kejatuhan beliau dan memulaukan beliau di hujung-hujung usia beliau yang begitu muda? Saya juga ingin memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata “belajarlah sejarah sebelum sejarah itu mengajar kita semula.”

Saya akui, mungkin kalau saya hidup di zaman itu, saya juga turut mengikuti yang lain, dipengaruhi pandangan majoriti yang meminggirkan P. Ramlee dan mencampak Allahyarham kepada kemurungan yang amat dalam, yang akhirnya memakan nyawanya. Kerana itulah kehidupan. “People give flowers at funerals rather when you were alive because regret is stronger than gratitude.” Dan pada detik itulah saya menitikkan air mata setiap kali tarikh ulang tahun kelahiran dan kematian belliau setiap kali terdengar lagu nyanyian beliau.

Saya menyoalkan takdir yang ditimpa P. Ramlee, dalam banyak-banyak manusia di dunia pada masa dulu dan kini, mengapa P. Ramlee yang dipilih, diturunkan ujian sebegini berat? Mengapa beliau yang ditarik nikmat sokongan dan di”cancel” oleh orang kita sendiri? Benar kata Seniwati Mariani, bila sudah tiada, baru nak diagung-agungkan. Nak bagi Tan Sri. Masa dia ada, tidak diendahkan.

13. Kita meraikan Syawal pertama pada 21 Mac tahun ini. Di awal bulan Syawal ini, saya mengenang P. Ramlee, yang dilahirkan pada tarikh 22 Mac 1929. Beliau dilahirkan di pagi Hari Raya Aidilfitri, 97 tahun yang lalu. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun 1948 bertarikh 8 Ogos pula merupakan tarikh di mana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berhijrah dari Pulau Pinang ke Singapura setelah mendapat tawaran untuk berkarya bersama Malay Film Studios di Jalan Ampas.

Menjelang tarikh keramat kelahiran dan kematian beliaulah, saya akan mengunjungi Pustaka Peringatan P. Ramlee. Sekiranya ada masa, pada minggu hari jadi saya juga saya turut kunjungi.

14. Dalam penulisan saya yang tidak seberapa ini, saya berterima kasih kepada sumber inspirasi saya yang menjadikan saya manusia yang memaknai, menghayati dan menghargai sebaiknya insan seperti P. Ramlee, meskipun beliau telah pergi 25 tahun sebelum kewujudan saya.

Kepada Mama, Papa, Tok dan Wan, dengan pendedahan, penceritaan yang dicurahkan sepanjang kedewasaan saya, dengan keterbukaan mereka akan minat saya terhadap P. Ramlee dan seniman-seniwati di zaman mereka.

Kepada Radio Klasik yang mendendangkan lagu-lagu lama, yang membuka luas minat saya terhadap muzik dari pelbagai zaman dan pelbagai genre.

Dan kepada Astro dengan kempen memperingati P. Ramlee yang berlangsung selama satu bulan sepenuhnya pada Oktober 2010 yang memberi saya pandangan luas terhadap sejarah penubuhan awal industri kreatif di tanah air kita yang membanggakan dan mengharumkan nama negara kita di rantau Asia.

15. Selamat Ulang Tahun Hari Kelahiran ke-97 Tan Sri Datuk Amar Dr. Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh @ P. Ramlee. Kau kebanggaan kita, kau budayawan bangsa, kaulah legenda.

 

Adza Haiqal Martias

22 Mac 2026

Kuala Lumpur

Tuesday, February 02, 2016

May 25th 2014 would be the best day of my life. Qal dapat jaga Papa dalam Wad 6D Hospital Ampang. Qal tolak Papa atas wheelchair tiap kali Papa nak ke tandas. Qal borak-borak dengan Papa puas-puas. Pagi tu, Papa minta Qal belikan breakfast kat luar hospital sebab kafetaria belum buka, Papa minta Qal beli agar-agar, favorite Papa. Qal keluar hospital, Qal pergi tiga kedai tanya ada agar-agar tak, tapi takda. Jadi Qal belikan tiga keping roti canai and dua bungkus teh o ais.


Qal balik wad Qal hidangkan breakfast tadi. Qal tuang dua the o ais dalam jug yang disediakan oleh hospital, roti canai, dal, sambal dan kari dalam Tupperware dari rumah. Papa ada record Qal hidangkan breakfast dengan Samsung Galaxy SIII Papa, tapi video tu dah takda. Itulah kali terakhir kita makan sama-sama.

Tengah hari tu, Papa tanya;

"Qal, UPSR bulan berapa?"
"Bulan sembilan, Pa,"
"Hmm PMR bulan 10 kan,"
"Ermm ya, Pa,"
"SPM?"
"Sama ada bulan 10 ke 11,"
"Hemm bulan 11 lah. STPM pulak?"
"Bulan 11 kot, Pa,"


Lebih kurang 10 minit kemudian, Papa tunjuk Qal fon Papa. Papa kata "Qal, baca ni, okey tak?" Papa tulis sebuah puisi bertajuk 'UJIAN'

UJIAN
 

Ujian UPSR bakal tiba
Sekitar September
Ujian PMR bakal tiba
Sekitar Oktober
Ujian SPM bakal tiba
Sekitar November
Ujian STPM bakal tiba
Sekitar bulan November
Ujian semestar bakal tiba
Semua tahu bila tarikhnya
Ujian memandu
Juga semua tahu tarikhnya
Nah apa juga ujian yang dirancang manusia
Telah tertulis tarikh dan waktu
Telah tertulis tepat dan nyata
Maka segala persediaan telah di buat
Maka segala strategi telah di atur
Segala ujian diharungi dengan sempurna
Bagaimana pula sengan ujian Allah SWT
Tahukah kita bila waktunya
Tahukah kita bila tarikhnya
Apakah kita sudah bersedia menerima
Ujian ujian Allah SWT disaat kita alfa
Ingatlah semua
Ujian Allah SWT pasti datang juga.
Martias Ali
25.05.2014
Hospital Ampang.

Qal jawab "Okay". Papa dah post nukilan tersebut di Facebook Papa. Lepas tu, Papa ada selak gambar-gambar yang haiqal tangkap, Qal suruh upload kat Instagram Papa. Ketika papa tidur, Qal pinjam fon Papa untuk berselfie dengan Papa yang sedang tidur. Papa suruh Qal upload gambar tu dan berkata "Haiqal tuliskan caption tulis harapan,... Padam balik, tulis Bakal pengganti"

Pagi tadi pukul enam pagi nurse check darah tinggi, suhu, ambil darah Papa. Qal amik gambar Papa kena check, Qal ingat lagi nurse tu check suhu Papa kata "38 darjah. Pakcik demam ehh?" Semua nurse dalam wad panggil Papa Pakcik. Tak pernah Qal dengar orang panggil Papa Pakcik. Itu first time.

Petang, Mama, adik-adik, Aunt Kinah and Uncle Adi datang tengok Papa. Petang tu barulah Qal mandi. Lepas tu Papa mintak Qal mandikan Papa. Qal cuci rambut, sabun badan. Kebetulan hari tu ada final match Thomas Cup dimana Lee Chong Wei mewakili Malaysia menentang Jepun. Lepas tu Qal tolak Papa ke bilik TV di pintu entrance Wad 6D. Itulah kali pertama dan terakhir Qal mandikan Papa ketika masih hidup dan kali terakhir kita tengok TV sama-sama. Habis first round dimana Malaysia menang, Papa nak baring kat katil and sambung tengok TV melalui fon dengan app RTM Online.

Senja tu, Papa tanya seorang demi seorang anak-anak Papa dah besar nak jadi apa. Qal jawab nak berlakon. Tapi sekarang Qal ubah fikiran nak mengajar kat sekolah kerajaan. Sebab bila difikir kembali, buat apa kerja tak ada gaji tetap dan tak ada pencen, kalau kerja kerajaan, dapat pinjaman kereta, perumahan dan pencen. Kalau kita meninggal, pencen tersebut isteri kita dapat. Macam Arwah Wan, seoarng guru Muzik, Seni, Sejarah dan Bahasa Inggeris. Papa mesti bangga sebab Papa juga cikgu dalam bengkel penulisan skrip, pembikinan filem pendek di Finas. Qal dah nak balik, Qal dapat salam, cium tangan, pipi dan dahi Papa buat kali terakhir masa hidup Papa.

29 Mei 2014, 16 jam sebelum Papa pergi, jam 5 pagi, Papa suruh doktor hantar Papa ke ICU. Tapi doktor tak kasi, doktor kata kena ikut prosedur. Papa sesak nafas, Papa mengucap "Allah, Allah, Allah, ...". Doktor bagi oxygen mask untuk Papa bernafas. Mama kata "Bang, pakai mask ni. Abang boleh mengucap dalam hati, Allah tu Maha Pendengar" tetapi Papa tetap berdegil, cabut mask tu dan terus mengucap "Allah, Allah, Allah, ...".

Bila azan Subuh berkumandang, mata papa pandang ke atas. Mama panggil doktor, doc bagi Papa life support. Semua pesakit pelik kenapa ada pesakit tengah nazak dalam wad yang biasa. Mama call Haiqal menangis, mama minta Haiqal tolong doakan Papa. Qal solat Subuh, hari sebelumnya (28 Mei) Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mangkat, maka semua TV dan Radio satu Malaysia memainkan Surah Yassin. Kami on the way ke hospital diiringi bacaan Surah Yassin. Bila kami sampai Wad jam 7 pagi, saya sangat, sangat terkejut sebab Qal tak pernah tengok Papa dalam keadaan yang sangat, sangat teruk. Banyak life support machine keliling Papa, banyak wire atas badan Papa. Qal menangis, Qal bisik kat telinga Papa macam mana dengan filem Papa nanti, Qal ajar Papa mengucap.

Papa dikejarkan ke ICU jam 11 pagi. Qal tunggu di bilik menunggu, bilik yang sama dimana Qal menunggu berita akan keadaan Arwah Wan di dalam CCU dua tahun sebelum tu.

Beberapa jam sebelum Papa tiada, doktor mengesahkan Papa menghidap leukemia (kanser darah, stage 4), pelbagai organ dalaman Papa rosak sepenuhnya dalam masa yang singkat seperti otak, hati, jantung dan buah pinggang. The worst, most shocking, most critical case/patient recorded in Ampang Hospital yet. Doktor kata virus di dalam badan Papa multiplies into billions every minutes. Qal baca Yassin di sebelah Papa. Petang, doktor datang dekat kami depan katil Papa kata he won't gonna make it until 48 hours. Papa dalam keadaan koma, tapi Qal boleh nampak airmata papa mengalir.

Beberapa minit sebelum Papa pergi, Papa dah buat CPR atas Papa. Doktor kata "He won't gonna make it until tonight, but we'll try the best as we can for you, and we dicided to do the CPR again,". Tapi Mama bantah dan kata "Janganlah seksakan suami saya. Apa-apa yang terjadi, syay terima ketentuan Allah,". Qal terus berlari ke katil Papa, doktor suruh Qal keluar, tapi Qal kata nak ajar dia mengucap, doktor benarkan. Sekali lagi Qal mengajar Papa mengucap, Qal kata

"Papa, ikut Haiqal cakap, Ash hadu Ala Ilaha Ilallah, Wa Ash hadu an Namuhammadar Rasulullah. Kalau tak mampu, Papa ikut Haiqal cakap, La Ilaha Ilallah, Muhammadar Rasulullah. Kalau tak mampu, cakap Allah sudah cukup, Papa."

manakala doktor shut down semua life support machine sekeliling anda. Qal berharap Papa mendengar Qal ketika itu. Tetapi Qal yakin Papa dah mengucap dalam hati, dan terus berjuang untuk terus hidup. Makin lama, bunyi mesin terus bip lebih laju, lagi laju.

Pada 29 Mei 2014, doktor telah mengesahkan Papa menghembuskan nafas terakhir jam 10:43 malam, selama-lamanya. Qal takkan lupakan saat-saat ni, saat Qal mandikan jenazah Papa, pakaikan kain kapan untuk Papa, solatkan untuk Papa dan masukkan Papa dalam liang lahad.

Tuesday, January 05, 2016

Sebelum PT3, PMR dan SRP, ada SPR PTM

Assalamualaikum. Tadi terjumpa result SPR PTM (kini PT3) arwah atok saya, Adenan Arshad tahun 1958. Beliau adalah seorang guru Bahasa Inggeris, guru muzik, guru sejarah, guru Pendidikan Seni Visual, guru Kemahiran Hidup, ahli muzik, panel juri Bintang RTM, pemimpin orchestra RTM dan pemain silat. Dia boleh bermain hampir kesemua alat muzik. Dia dah belajar piano sampai gred 8 (tahap tertinggi dalam pelajaran piano).

Beliau pernah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada DYMM Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 12 Mac 1998 keatas 33 tahun perkhidmatan beliau sebagai seorang guru. Pada masa yang sama, beliau juga berkhidmat kepada masyarakat dan akhirnya bersara pada hari jadi ke-55 beliau pada 14 Ogos 1998. Rindu Wan sangat-sangat
 


Sunday, January 03, 2016

MENABUNG

Assalam Semua. Saya start menabung since Jun 2015. Now tabung dah penuh tapi tak nak bukak lagi. Nak beli tabung lagi. Bila penuh, tambah tabung lagi.

Niat di hati nak bukak tabung-tabung ni 1 Januari 2020, hari yang sama Kapsul Wawasan 2020  akan dibuka nanti. Tak nak tau berapa ringgit dah kumpul. Nak jadikan surprise. Target nak dapat 5 or 6 angka.

Tabiat Qal suka kumpul syiling lama tahun 60-an sampai 70-an . Sebab syiling lama boleh jual sampai beratus ringgit. Duit kertas nak jugak tapi agaknya dah pupus kot. Kalau ada tu memang rare lah. Lagi-lagi kertas RM2 or mana-mana duit kertas yang ada sign selain Zeti Aziz, macam Aishah. So korang boleh ikut macam saya ni. Buka tabung setiap lima tahun. Duit baru boleh masuk bank. Duit lama boleh jual kepada yang nak membeli duit lama so boleh dapat lebih daipada yang dikumpul, Insyallah